Monday, December 21, 2009

KHABAR BERITA BUMI DI HARI AKHIR & KESUDAHAN MAKHLUKNYA


Allah berfirman dalam surah Al-Zalzalah ayat 1-8 yang bermaksud :

“Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya. Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): “Apa yang sudah terjadi kepada bumi? “Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya. Bahawa Tuhanmu telah memerintahkan (berlaku demikian). Pada hari itu manusia dibiarkan keluar berselerak (dari kubur masing-masing), supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah,nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) !

Menurut tafsiran Ibn Abbas seperti yang dinyatakan oleh Ibn Jarir dalam salah satu riwayatnya, gegaran yang dimaksudkan adalah goncangan yang sangat dahsyat menggerakkan bumi dari sebelah bawahnya. Hamka menjelaskan dalam tafsirnya, gegaran yang berlaku ini bukanlah gempa yang berlaku kepada permukaan bumi yang tertentu sahaja, sebaliknya ia melibatkan keseluruhan permukaan bumi tanpa ada pengecualian.

Bumi
Memuntahkan Isinya


Maksud ini diperkuatkan lagi dengan datangnya ayat kedua yang lebih menampakkan pengertian gempa besar ini. Bumi seperti yang digambarkan dalam ayat kedua ini akan memuntahkan segala isi kandungnya termasuk mayat manusia.

Menurut sebuah riwayat dalam sahih Muslim, Nabi s.a.w bersabda menjelaskan maksud ayat ini, “Bumi akan mengeluarkan bahagian-bahagian yang terdapat dalam perutnya yang besar seperti tiang-tiang yang dibuat daripada emas dan perak. Lalu seorang pembunuh akan datang seraya mengatakan, ‘Aku telah membunuh dengan sebab harta ini’. Kemudian datang seorang yang memutuskan silaturrahim lalu berkata,’Aku telah memutuskan silaturrahim disebabkannya’. Kemudian datanglah seorang pencuri berkata, ‘Dengan sebab inilah aku dihukum potong tangan. Kemudian mereka meninggalkannya dan tidak mengambil sesuatu pun daripadanya”.

Reaksi Manusia

Dalam ayat ketiga, manusia akan menjadi bingung melihat perkembangan yang di luar jangkaan itu. Dia bertanya-tanya, adakah apa yang menimpa bumi itu menjadikannya tidak lagi selamat untuk didiami sedangkan sebelumnya aman, damai dan tenang? Persoalan ini akan menghantui fikiran golongan yang mengingkari pertemuan dengan-Nya.

Firman Allah menerusi ayat keempat menunjukkan bumi akan menceritakan beritanya iaitu apa yang disaksikan olehnya terhadap gelagat manusia sepanjang mereka hidup. Dalam riwayat ini, Nabi s.a.w memberitahu kita bahawa setiap kelakuan seorang lelaki ataupun perempuan dilihat bahkan disaksikan oleh Bumi dan akan didedahkan pada hari kiamat kelak. Walaupun bumi tidak memiliki mata untuk melihat dan lidah untuk berbicara, tetapi ia adalah perintah yang jelas dari Allah s.w.t. Ini termaktub dalam penjelasan menerusi ayat kelima yang bermaksud:
“Bahawa Tuhanmu telah memerintahkan (berlaku demikian).” Sebagaimana Allah menjadikan anggota-anggota manusia mampu berkata-kata, begitu juga kudrat-Nya menjadikan makhluk yang keras seperti bumi berkata-kata. Allah mampu menjadikan semua itu, kerana segala ketetapan-Nya pasti akan berlaku.

Natijah Akhir

Ayat Keenam menggambarkan manusia keluar dari kubur masing-masing secara terpisah antara satu dengan yang lain. Ibn Kathir menjelaskan maksud ayat tersebut adalah berbagai ragam, samada bahagia ataupun sengsara. Golongan yang bahagia akan diiringi memasuki syurga, sedangkan yang sengsara akan dihambat ke neraka.

Lanjutan daripada ayat keenam ini manusia akan dibangkitkan untuk diperlihatkan balasan amalan yang dilakukan semasa di dunia dahulu, samada baik atau buruk.
Akhirnya dalam ayat ketujuh dan lapan, Allah memberitahu kita kepentingan adanya kesedaran tentang seriusnya hisab. Firman-Nya bermaksud, “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah,nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) ! ”.

Memahami intisari ayat ini, Nabi s.a.w pernah mencadangkan kepada seorang sahabat yang sudah pun tua dan lemah agar membaca surah ini kerana kandungannya yang merangkumi berbagai elemen kehidupan dalam bilangan ayat yang amat terbatas. Dalam kitab Fada’il Suwar Al-Quran, Dr.Ibrahim Ali Sayyid memberikan penjelasannya bahawa nabi mencadangkan kepada lelaki tua itu supaya membaca dan mengamalkan surah ini sesuai dengan keadaannya yang telah uzur dan lemah.

Dalam riwayat oleh Ibn Abbas seperti yang terdapat dalam Al-Tirmizi dan Al-Hakim surah ini dinyatakan oleh Nabi s.a.w, ganjaran membacanya menyamai membaca separuh daripada Al-Quran.

0 comments:

Blogger template 'CoolingFall' by Ourblogtemplates.com 2008