Tuesday, July 26, 2011

Dahsyatnya kematian dan azab kubur (siri 6/2011)


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah segala pahala amalannya, melainkan tiga amalan yang kekal berterusan iaitu , sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kepada kedua ibubapanya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Apabila sampai ajal seseorang maka akan berlaku keadaan sejuk dibahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucapkan kalimah syahadah dan datanglah malaikat maut untuk menjemput kita untuk kembali kepada Allah.

Keadaan orang kafir / Berdosa
Adapun orang kafir jika sakaratul maut didatangi oleh malaikat yang membawa kain bulu di dalamnya ada api, maka dicabut rohnya dengan kekerasan sambil dikatakan kepadanya: Hai roh yang jahat keluarlah menuju murka Tuhanmu ke tempat yang rendah, hina dan siksaNya, maka bila telah keluar rohnya diletakkan di atas api dan bersuara seperti sesuatu yang mendidih kemudian dilipat dan dibawa ke Sijjin. Lalu terdengar suara dari langit: Bukakan baginya pintu neraka, maka terasa olehnya panas haba neraka, dan disempitkan kuburnya sehingga terhimpit dan rosak tulang-tulang rusuknya, Lalu didatangi ular besar sebesar leher unta, dimana ular-ular itu akan memakan daging-daging mereka sehingga tidak tersisa. Lalu dikirim kepadanya malaikat yang akan menyiksa iaitu yang buta, tuli dan bisu dengan membawa pentung dari besi lalu memukul mereka tanpa mendengar jeritan dan tangisan daripada mereka.kemudian datang kepadanya seorang yang busuk wajahnya dan basi baunya lalu berkata kepadanya: Sambutlah hari yang sangat buruk bagimu, inilah saat yang telah diperingatkan oleh Allah kepadamu. Lalu ia bertanya: Siapakah kau? Jawabnya: Akulah amalanmu yang buruk yang kamu lakukan semasa didunia.

Keadaan orang mukmin / Soleh
Manakala apabila seorang mukmin menghadapi sakaratul maut didatangi oleh malaikat dengan membawa sutra yang berisi kasturi dan tangkai-tangkai bunga, lalu dicabut rohnya bagaikan mengambil rambut di dalam adunan sambil dipanggil: Hai roh yang tenang kembalilah kepada Tuhanmu dengan perasaan rela dan diredhoi.
Kembalilah kepada rahmat dan keredhaan Allah. Al-Faqih berkata bahawa Abu Ja’far meriwayatkan dari Abdullah b. Umar r.a bahawa orang mukmin itu apabila diletakkan di dalam kuburnya maka kuburnya itu dilapangkan 70 hasta, ditaburi harum-haruman dan ditutup dengan kain sutera. Apabila ia hafal sebahagian dari al-Quran maka apa yang dihafalnya itu menerangi seluruh dari kuburnya, dan apabila ia tidak hafal, maka ia dibuatkan cahaya seperti cahaya seperti matahari di dalam kuburnya. Ia bagaikan pengantin baru yang tidur dan tidak boleh dibangunkan kecuali oleh isteri yang sangat dicintainya. Kemudian ia bangun seolah-olah ia belum puas dari tidurnya itu.

Amanat dari Saidina Ali
Ali bin Abi Thalib r.a berkata dalam khutbahnya: Hai hamba Allah berhati-hatilah kamu dari maut yang tidak dapat dihindari, maut akan sentiasa mengikuti kamu dan ia selalu terikat diubun-ubunmu. Dan dibelakangmu ada yang mengejar kamu iaitu kubur. Ingatlah bahawa kubur itu ada kalanya kebun dari kebun-kebun syurga, atau jurang dari jurang-jurang neraka. Dan kubur itu tiap-tiap hari berkata: Akulah rumah yang gelap, akulah tempat sendirian, akulah rumah ulat-ulat.

Usaid bin Abdirrahman berkata: Saya telah mendapat keterangan bahawa seorang mukmin jika mati dan diangkat ia berkata: Segerakan aku, dan bila telah dimasukkan dalam lahad (kubur), bumi berkata kepadanya: Aku kasih kepadamu ketika diatas belakangku, dan kini lebih sayang kepadamu.

Apabila orang kafir mati lalu diangkat jenazahnya ia berkata: Kembalikan aku dan bila diletakkan di lahadnya, bumi berkata kepadanya: Saya sangat benci kepadaamu ketika kau diatas belakangku, dan kini aku lebih benci lagi kepadamu.


Abul Laits berkata: Siapa yang ingin selamat dari siksa kubur maka harus melazimi empat perkara dan meninggalkan tiga perkara iaitu:-

Menjaga solat lima waktu
Banyak bersedekah
Banyak membaca al-Quran
Memperbanyakkan tasbih (Subhanallah, walhamdulillah, walailaha Illallah wallahu akbar, walahaulawala quwwata illa billah)

Adapun tiga perkara yang harus ditinggalkan iaitu:-
Bercakap dusta
Adu domba
Bersuci (Buang air kecil)
Rasulullah s.a.w bersabda: Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya siksa kubur itu kerana kencing.

Amar bin Dinar berkata: “Ada seorang penduduk Madinah yang mempunyai seorang adik perempuan dihujung kota. Pada saat adiknya sakit dan ia datang menjenguk adiknya itu. Setelah sampai adiknya meninggal dunia dan ia menguruskan dan menguburkan mayat tersebut. Setelah selesai dan ia pulang ke rumahnya lalu ia teringatkan bekas wangnya yang jatuh sewaktu mengubur adiknya itu. Lalu ia meminta temannya untuk menggali kubur dan ia menemui barang yang dicarinya .
Kemudian ia berkata kepada temannya, “Pergilah kamu kerana aku ingin melihat apa yang terjadi kepada adik perempuanku ini”. Kemudian ia mengangkat penutup liang lahad dan ia ternampak kubur adiknya menyalakan api. Lalu ia cepat-cepat menutup dan meratakan kembali kubur itu dan pulang menemui ibunya dirumah dan beliau bertanya:

“Ceritakan kepadaku apa yang dilakukan oleh saudariku semasa hayatnya?.” Ibunya menjawab: “Kenapa kamu menanyakan tentang adikmu sedangkan ia sudah meninggal dunia?. Ia berkata lagi: “Tolong ibu, khabarkan padaku”. Ibunya menjawab: “Adikmu itu suka mengakhirkan solat dan ia mengerjakan solat dalam keadaan tidak bersih, ia suka pergi kerumah-rumah jiran dan menceritakan kepada mereka apa yang ia dengar dengan maksud mengadu domba, itulah yang menyebabkan siksa kubur.”

Oleh kerana itu, barang siapa yang ingin selamat dari siksa kubur maka ia harus menjauhkan diri dari perbuatan mengadu domba dan perbuatan-perbuatan dosa lainnya agar selamat dari siksaan kubur dan azab dari Allah s.w.t.











0 comments:

Blogger template 'CoolingFall' by Ourblogtemplates.com 2008