Wednesday, November 25, 2009

KEADAAN NERAKA DAN PENGHUNINYA



BIL8/2010
Untuk mengetahui keadaan neraka dan penghuninya marilah kita lihat keterangan di bawah ini:


1. Mengadulah neraka kepada Tuhannya:Wahai Tuhanku, sebahagian kami memakan sebahagian yang lain. Dengan permohonannya itu maka orang yang berada di dalam neraka itu ada dua macam penyeksaan iaitu dengan penyeksaan yang amat panas dan penyeksaan yang amat sejuk.


2. Batu besar diletakkan di tepi jurang neraka jahanam,maka jatuhlah ia dan selama tujuh puluh tahun belum sampai lagi dasarnya.


3. Orang yang kembali kepada allah (orang yang mati), ada yang dimasukkan ke dalam syurga dan ada yang dimasukkan ke dalam neraka.Didalam neraka itu mereka tidak mati untuk selama-lamanya.


4. Orang yang diseksa di dalam neraka itu terus-terusan menangis sehingga air mata mereka sanggup menghanyutkan sampan. Dan air mata mereka habis sehingga darahnya yang keluar.


5. Seandainya ada batu besar di jatuhkan di tepi jurang neraka Jahanam ,maka selama tujuh puluh tahun pun ia belum sampai ke dasarnya.


6. Seandainya satu ketul zaqqum (makanan di neraka) dicampakkan ke dunia nescaya matilah semua penduduk dunia kerana tidak tahan mencium baunya. Kalau mencium baunya saja pun orang tidak tahan bagaimana pula orang yang memakannya?.


7. Api yang ada di dunia ini adalah satu juzuk daripada tujuh puluh juzuk neraka jahannam. Ertinya neraka Jahannam itu panasnya tujuh puluh kali api dunia.


8. Ada saja orang yang dicampakkan ke neraka Jahannam tetapi setiap kali dicampakkan ke mulutnya ia berkata: “Ada lagi yang lain?” sehingga akhirnya Allah memenuhi neraka itu dengan manusia jahat.Sedangkan di Syurga ada saja tempat yang kosong dan lapang sehingga Allah menciptakan makhluk lain umtuk menempati yang kosong itu.


9. Didatangkan ke neraka Jahannam ketika itu nanti sebanyak 70,000 tali pengikat, dan setiap tali itu dipegang oleh 70,000 malaikat.


10. Saling bersoal jawab antara neraka dan syurga. Maka berkatalah syurga: “Masuk ke tempat saya orang-orang daif dan miskin.” Berkata pula neraka: “0Masuk ke tempat saya orang-orang yang kejam dan sombong.” Kemudian Allah berkata kepada mereka: “Engkau adalah azab-Ku, dan dengan engkaulah Aku menyeksa orang-orang yang aku kehendaki.” Kemudian berkata kepada syurga: “Engkau adalah rahmat-Ku dan Aku rahmati denganmu orang-orang yang aku kehendaki. Dan setiap kamu (syurga dan neraka) ada pengisinya.”


11. Siksaan yang paling ringan di neraka seseorang dipakaikan kepadanya sandal api. Namun demikian kerana panasnya sandal itu seluruh tubuhnya kepanasan sehingga mendidih otaknya.


12. Seseorang itu kalau sudah dimasukkan ke dalam neraka menjadi besar badannya sehingga satu batang giginya menjadi seperti gunung Uhud.


13. Orang-orang yang masuk ke neraka itu ada yang dijilat api sampai ke mata kaki atau buku lalinya, ada yang sampai ke lututnya, ada yang sampai pinggang dan ada yang sampai ke lehernya.


14. Orang-orang berada di dalam neraka itu sentiasa menangis sehingga kering air mata mereka. Setelah kering air mata mereka keluarlah darah. Kerana banyaknya darah yang mengalir itu,sampan akan berlayar sekiranya diletak di situ.Neraka adalah tempat menjalani hukuman, tempat penyeksaan,tempat celaka dan menyengsarakan. Tidak ada di dalamnya kecuali suasana yang menyedihkan, suasana pilu dan menarik nafas panjang. Orang yang berada didalamnya merupakan penghuni yang celaka, menangis dan menyesal. Rantai dan belenggu berada di tangan dan kaki mereka dan juga di tengkuk atau bahu mereka. Api menjilat mereka dari atas, bawah, kiri dan kanan mereka. Tidak ada makanan mereka kecuali buah zaqqum, sebagai minyak kotoran yang mendidih didalam perut seperti mendidihnya air yang sangat panas. Itulah makanan orang yang berada di dalam neraka itu.


Pakaian mereka adalah tar yang panas.Mereka selalu saja minta supaya dimatikan tetapi tidak diperkenankan. Mereka menangis dan minta ampun kepada Allah supaya dilepaskan dari azab itu tetapi dikatakan kepada mereka: “Rasakanlah dan jangan bercakap lagi sekarang.” Mereka terus tenggelam di tengah-tengah api yang menjulang-julang itu sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka lakukan.Dari Usamah bin Zaid, katanya beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Didatangkan seorang lelaki pada hari kiamat lalu dicampakkan ke dalam neraka sehimgga mendidih perutnya. Kemudian dia meronta-ronta seperti keldai yang digigit ular. Penghuni neraka datang mengerumuninya dan bertanya: “Wahai polan, mengapa begini? Bukankah didunia dahulu engkau selalu mengajak orang berbuat baik dan melarang daripada yang mungkar?” Dia menjawab: “Memang tetapi saya menyuruh orang berbuat baik sedangkan saya tidak melakukannya dan saya melarang yang mungkar sedangkan saya mengerjakannya.”


Diterbitkan oleh:Unit Dakwah Dan Penerbitan (BAKA ) IPK Kedah.


Rujukan :Kitab Jam’ul –Fawaa’id

DOSA MENGUMPAT

DOSA MENGUMPAT
Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut kekurangan seseorang kepada orang lain.
Rasulullah s.a.w menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabda nya bermaksud : “ Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya”. ( Hadis Riwayat Muslim )
Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Memandangkan bertapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.


Dosa mengumpat bukan sahaja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.
Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:- Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya.
“ Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat”.
( Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbab )


Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.
Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.
Sabda Rasulullah s.a.w “ Wahai orang beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri”.
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatat sebagai perbuatan menghapuskan pahala.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “ Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering”.
Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi”.
Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, diakhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah: “ Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakuka nnya”.Maka Allah menjawab: “ Semua itu kebaikan ( pahala ) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”.
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti”.
Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.


Rujukan: Perpustakaan BAKA IPK KEDAH.
Dakwah Dan Penerbitan ( BAKA ) IPK Kedah
MUAT TURUN ARTIKEL SECARA ONLINE:
Http://bakaipkkedah-wadahnurfadhilat.blogspot.com

DOSA

DOSA
Dosa menurut islam terbahagi kepada dua iaitu dosa kecil dan dosa besar.
Firman Allah s.w.t:
“ Jika kamu menghindari dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, maka kami ampunkan kesalahan-kesalahan ( dosa kecil ) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia ( syurga )

DOSA BESAR
Semua yang dilarang oleh Allah atau semua yang dinyatakan haramnya oleh al-Quran atau sesuatu yang menurut al-Quran atau hadis akan dibalas dengan azab neraka pada hari kiamat. Disebut juga sebagai hal yang dimurkai oleh Allah s.w.t, dilaknat dan dijanjikan siksa yang sangat pedih. Orang yang melakukan dosa besar ini juga disifatkan sebagai fasik.

DOSA KECIL
Firman Allah dalam surah An-Najm maksudnya :-
“ ( iaitu ) orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan yang keji , kecuali salah silap yang kecil-kecil ( yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan ). Sesungguhnya Tuhanmu maha luas keampunan Nya”.
Allah s.w.t memerintahkan semua umat manusia supaya menjauhkan diri daripada semua dosa, tidak kira dosa yang nyata atau tersembunyi, dosa kecil atau dosa besar serta perkara-perkara yang amat keji.

Nabi s.a.w bersabda melalui sebuah hadis Qudsi :-
“ Jika hamba-Ku baru mahu melakukan satu keburukan, janganlah kamu tulis itu satu kejahatan baginya, tapi jika ia sudah melakukannya maka tulislah itu satu kejahatan baginya. Dan jika hamba-Ku baru mahu mengerjakan kebaikan, tetapi belum dilakukannya, maka tuliskanlah baginya satu kebaikan, jika ia sudah melakukannya, maka tuliskanlah baginya 10 kebaikan”.

KESAN DOSA KEPADA MANUSIA
Dosa mengakibatkan hati manusia menjadi gelap. Dan apabila hati sudah gelap maka ia menjadi keras dan orang yang keras hatinya akan jauh daripada Allah s.w.t. Kesannya akan menjadi bibit kejahatan didalam masyarakat yang membawa kerugian didunia dan akhirat.
Dosa yang dilakukan oleh seseorang itu juga menjadi sebab terhalangnya ia memperolehi rezeki.
Sabda Nabi s.a.w :-
“ Tidak ada yang memanjangkan umur melainkan kebaikan, dan tidak ada yang dapat menolak qadar melainkan doa. Dan sesungguhnya terhalang seseorang memperolehi rezeki, kerana dosa yang dilakukannya”.

DOSA MENYEBABKAN MURKA
DAN SEKSA
Dosa yang diperbuat oleh manusia menyebabkan datangnya murka dan azab daripada Allah s.w.t. Kemurkaan atau azab yang datang ini kadang-kadang berupa bencana alam seperti banjir besar, kemarau, angin puting beliung, gempa bumi dan kadangkala berupa kekacauan politik seperti berlaku pemberontakan dan perang yang mengakibatkan musnah semua yang bernilai di negeri berkenaan.
Didalam al-Quran, telah disenaraikan nama-nama maksiat yang menyebabkan turunnya bala atau malapetaka iaitu kesalahan, dosa, kejahatan, kefasikan, kemaksiatan, keburukan, dan kerosakan. Orang yang melakukannya akan diberi balasan siksa oleh Allah didunia dan akhirat.

Rujukan: Mengenali Dosa-Dosa Besar
Dakwah Dan Penerbitan ( BAKA ) IPK Kedah
MUAT TURUN ARTIKEL SECARA ONLINE:
Http://bakaipkkedah-wadahnurfadhilat.blogspot.com

ORANG YANG TIDAK DIPERKENANKAN DOANYA

ORANG YANG TIDAK DIPERKENANKAN DOANYA
Ketika Ibrahim B. Adham ( seorang ahli tasawwuf yang mahsyur ) berada ditengah-tengah pasar Basrah, beliau telah dikerumuni oleh orang ramai. Diantara mereka ada yang bertanya:-
“Mengapa doa mereka tidak dikabulkan Allah padahal mereka selalu berdoa kepada Nya?. Beliau menjawab: Kerana hati kamu buta disebabkan sepuluh perkara iaitu:-

1.Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak tunaikan hak-Nya.
2.Kamu sangka bahawa kamu cinta kepada Rasulullah s.a.w tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.
3.Kamu telah membaca al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya.
4.Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah tetapi kamu tidak bersyukur kepada-Nya.
5.Kamu telah berkata syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya.
6.Kamu telah berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuknya.
7.Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar tetapi kamu tidak lari daripadanya.
8.Kamu telah berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya.
9.Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan keaiban orang lain tetapi kamu lupa akan keaiban kamu sendiri.
10.Kamu kebumikan jenazah-jenazah orang islam, tetapi kamu tidak mengambil iktibar ( pengajaran ) daripada mereka.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Mukminun ayat 51 :-
“ Hai sekelian Rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan beramallah akan yang baik”.

Firman Allah s.w.t lagi dalam surah Al-Baqarah ayat 172:-
“ Hai sekelian orang yang beriman, makanlah dari segala yang baik-baik yang kami rezekikan kepada kamu”.

Kedua-dua ayat ini menjelaskan bahawa sekelian Rasul dan umat manusia disuruh makan makanan yang baik-baik iaitu yang halal yang direzekikan kepada mereka kerana makanan yang halal menjadi syarat utama bagi kesucian amal yang akan diterima oleh Allah s.w.t.

Berkata Malik . Dinar ( 130 H , seorang periwayat hadis yang sangat wara’ ) bahawa telah ditimpa bencana keatas Israel. Kemudian mereka keluar ke tanah lapang untuk berdoa. Lalu Allah s.w.t wahyukan kepada Nabi untuk diberitahu kepada mereka bahawa mereka telah keluar dengan badan yang najis dan mereka mengangkat kepadaku tangan mereka yang mereka gunakan untuk menumpahkan darah dan memenuhkan rumah mereka dengan benda-benda yang haram. Sekarang, semakin bertambahlah kemurkaan Ku keatas mereka dan mereka makin jauh daripada Ku.

Mutiara Kata
Mengusahakan sesuatu adalah jauh lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa, walaupun adakalanya yang diusahakannya itu gagal.

Rujukan: Hadith 40
Dakwah Dan Penerbitan ( BAKA ) IPK Kedah
MUAT TURUN ARTIKEL SECARA ONLINE:
Http://bakaipkkedah-wadahnurfadhilat.blogspot.com

Blogger template 'CoolingFall' by Ourblogtemplates.com 2008