Thursday, August 11, 2011

FENOMENA RAMADHAN (siri 12/2011)


Antara ilmu dan amal itu ada jurang. Boleh jadi jurangnya itu terlalu dalam sehingga tak bertemu keduanya. Ibarat puncak gunung dan dasar laut. Ilmu adalah sesuatu yang tersimpan, dan amal itu sesuatu yang terlihat. Belum tentu yang terlihat itu didasarkan kepada ilmu, atau yang tersimpan itu melahirkan amal.Begitulah fenomena yang berlaku sekarang. Jurang terlalu besar antara ilmu dan amal. Umum mengetahui bahawa puasa itu wajib, namun ramai yang masih meninggalkannya. Ilmu itu tidak melahirkan amal, iaitu komited dengan puasa.

Tak kurang juga yang beramal tanpa ilmu, tanpa faham akan amalannya. Dek kerana itu, Hassan Al-Banna menekankan faham atas amal. Untuk memahami, kita harus memiliki ilmu. Namun ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah.

Dalam kegembiraan menyambut puasa di bulan Ramadhan, kita seharusnya memahami dengan sejelas-jelasnya akan hakikat, rahsia dan falsafah puasa yang tersirat. Kefahaman ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah, tetapi dapat menolong kita untuk menunaikan puasa dengan sempurna.

Hakikat ibadah puasa sebenarnya melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana, penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Di samping itu, puasa juga dapat melatih manusia menjadi insan yang beramanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal dan tidak sempurna.

Namun, disebalik bulan yang disucikan oleh Allah s.w.t ini didalamnya tersimpan satu peristiwa agung dalam sejarah umat islam “ Nuzul Al-Quran”, iaitu sejarah penurunan AL-Quran oleh Jibril kepada Nabi Muhamad SAW pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Tetapi apa yang penting bagi kita disebalik peristiwa tersebut ialah megimbas kembali akan tanggungjawab dan kewajipan kita terhadapnya.

Apakah kita selama ini telah melaksanakan segala kewajipan terhadap kitabullah atau tidak ?
Apakah keghairahan kita menyambut hari nuzulul Quran saban tahun dengan ceramah-ceramah, perarakan-perarakan dan seumpamanya sama tahapnya atau sama rancaknya dengan keghairahan kita memahami isi kandungan Al-Quran serta menghayatinya satu persatu di dalam rutin kehidupan kita. Baik diri kita, kaum keluarga dan seterusnya masyarakat kita.

Apa yang dapat kita perhatikan, ternyata keghairahan umat Islam pada keseluruhannya untuk kembali kepada Al- Qur’an sebagai panduan hidup mereka dalam segala aspek kehidupan masih terlalu pasif dan lemah. Masih terlalu dingin dan hambar. Bagaimana kita hendak memperoleh rahmat dan berkat dari kitabullah andaikata hati -hati masih dipenuhi dengan kecintaan kepada dunia bukan kepada akhirat.

Telinga kita, kita lebih senang menyumbatnya dengan hiburan dan muzik yang melalaikan daripada mendengar bacaan Al – Quran.Adakah kita memandang sinis apabila mendengar saudara kita menyeru perkara kebaikan sedangkan perkara itu sedikitpun tidak merugikannya bahkan ianya nanti akan dipersoalkan dihadapan Allah s.w.t.

Mata kita pula lebih tertarik memandang perkara-perkara yang haram seumpama aurat, filem dan gambar-gambar yang menaikkan syahwat, majalah yang melalaikan daripada menatap Al -Quran atau tafsirannya.

Lidah kita lebih disibukkan dengan amalan menfitnah, mengumpat, berdusta, membuka ‘aib saudara -saudara kita dan bercakap hal -hal dunia daripada membaca ayat -ayat Allah.Sebaliknya gunakanlah lidah kita untuk berkata-kata perkara yang baik. Kalaulah begini keadaanya maka bagaimanakah nur hidayah Al- Quran dapat masuk ke dalam jiwa kita.

Apalah ertinya juga jikalau rumah-rumah kita terang benderang dengan lampu yang indah dan berkilauan walaupun mereka kaya berharta tetapi pada hakikatnya mereka miskin dengan ilmu .Walaupun mushaf Al -Qur’an tersusun rapi menghiasi almari tetapi ia jarang sekali disentuh. Apa yang menjadi kemegahan ialah dinding -dinding rumah dipenuhi dengan frame dan ukiran ayat-ayat Al-Qur’an seumpama ayatul kursi, Qulhuwallah, asma’ulhusna, pelbagai anugerah tokoh / pingat dan bermacam lagi yang harganya ratusan ringgit. Adakah dengan cara ini berlaku penghayatan terhadap Al -Qur’an ?

Alhamdulillah, hari ini boleh dikatakan setiap masjid dan surau mengadakan kelas-kelas Al - Quran. Ke mana sahaja kita pergi, pasti kita akan berjumpa kelas -kelas tersebut. Namun disebalik kegembiraan, kita merasa amat dukacita kerana apa yang dapat kita lihat kelas -kelas tersebut biasanya hanya dihadiri oleh ahli jemaah yang majoritinya telah berumur 50 tahun ke atas. Apa salahnya tanya diri kita bilakah mati akan menjemput kita.

Sepatutnya semangat untuk mempelajari dan mendalami hukum-hukum Al -Qur’an dimonopoli oleh golongan yang lebih muda bukannya yang tua tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Realiti persekitaran kita menceritakan segala -galanya. Kadang kala anak -anak lebih rajin mengaji dan belajar tajwid dari ibubapa yang tidak ada masa kerana ‘ terlalu sibuk’. Apabila demikian halnya, Al-Qur’an semakin terpinggir malah yang lebih serius kadang kala Al- Qur’an di pandang tidak mampu menangani permasalahan -permasalahan moden dan semasa.
Nabi s.a.w ada memperingatkan kita dalam sabdanya yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah mengangkat dan memuliakan kaum -kaum tertentu dengan kitab ini (Al-Qur’an ) dan kadang kala Al- Qur’an di pandang tidak mampu menangani permasalahan -permasalahan moden dan semasa.

Nabi s.a.w ada memperingatkan kita dalam sabdanya yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah mengangkat dan memuliakan kaum -kaum tertentu dengan kitab ini (Al-Qur’an ) dan menghinakan denganya kaum -kaum yang lain" ( Riwayat Muslim).
Dari itu marilah kita menginsafi tanggungjawab dan peranan kita terhadap Al - Qur’an. Buktikan keimanan dan kecintaan kita terhadap Al-Qur’an itu melebihi segala -galanya secara praktikal dan menjadikanya sebagai Hakim dalam segala permasalahan kehidupan. Kita tidak mahu Al - Qur’an menghujjah dan mendakwa kita di hadapan Rabbul Jalil kelak dan tiada gunanya lagi ratapan dan tangisan.Dengan Modal membaca Al-Quranlah yang dapat menyelamatkan diri di alam kubur.

Mutiara Kata
Kanak-kanak adalah seperti kain putih dan mereka tiada dosa, Sesungguhnya Allah tidak menghukum mereka yang tidak mengerti akan segala sesuatu .


0 comments:

Blogger template 'CoolingFall' by Ourblogtemplates.com 2008