Sunday, June 26, 2011

1 MUHARRAM/1 JANUARI 1 PERBANDINGAN (siri 1/2011)

Setiap tahun pasti kita tidak terlepas dari menyambut tahun baru Hijrah (islam) ataupun Masihi. Tahun baru Hijrah seringkali disedari apabila hari tersebut diberikan cuti dan umat islam meneruskan hidup mereka dengan tanpa pengajaran dari tahun baru tersebut. Berlainan dengan tahun baru Masihi yang dijadikan kalendar setiap negara dan disambut besar-besaran oleh negara.


Wajarkah kita umat ISLAM membudayakan sambutan sedemikian?
Umat ISLAM patut berbangga kerana kita mempunyai kalendar kita sendiri iaitu kalendar Hijrah. Dan kita digalakkan meraikan awal Muharram supaya kita dapat mengambil pengajaran dari kisah penghijrahan Rasulullah s.a.w.

TAHUN BARU DAN KITA
Tahun baru Masihi yang baru sahaja berlalu disambut dengan begitu meriah, persembahan konsert diadakan di sana sini sebelum disusuli percikan bunga api tepat pada jam 12 tengah malam pada 31 Disember lalu.
Suasana sebegini seolah-olah menunjukkan bahawa tidak akan sah sambutan tahun baru tanpa penganjuran acara hiburan serupa itu.

Hakikatnya, itulah suasananya acap kali sambutan Tahun Baru Masihi. Bagaimanakah pula dengan Tahun Baru Islam iaitu 1 Muharam yang kita baru raikan hari ini?
Paling biasa dilakukan ialah membacakan doa akhir tahun dan doa awal tahun sehari sebelumnya . Malah sesuatu yang tidak pelik dan menyedihkan boleh berlaku, apabila ada di kalangan umat islam kita yang hanya menyedari ketibaan bulan ini
yang dikenali juga sebagai Maal Hijrah hanya kerana ia adalah hari cuti umum.

Yang menjadi persoalan sekarang, adakah wajar sambutan tahun baru disambut oleh orang Islam dengan pesta, hiburan dan hedonisme? Tiada salahnya ketibaan tahun baru jika niat yang disertakan adalah untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik.
Jika ditinjau secara logik, 1 Januari hanyalah satu hari dalam setahun yang tidak mempunyai apa-apa signifikan besar kepada kehidupan manusia melainkan hanya menjadi tanda bermulanya era baru berasaskan pengiraan takwim solar yang mempunyai asal-usulnya kepada agama Kristian.

Islam mempunyai kiraan takwim sendiri apabila Saidina Umar al-Khattab menetapkan bermulanya peristiwa hijrah Rasulullah sebagai tahun bermulanya pengiraan takwim Islam.

Golongan muda nampaknya begitu ghairah dengan sambutan tahun baru tetapi sayangnya cara berseronok itu tidak selari dengan agama Islam.
Sambutan tahun baru perlu dilakukan dengan hasrat untuk berubah ke satu keadaan yang lebih baik malangnya apa yang kita lihat ialah seolah-olah budaya hedonisme yang menerap masuk membawa bersamanya keruntuhan moral dan akhlak.

Satu perkara yang mungkin wajar direnungkan ialah mengapa orang Islam begitu teruja meraikan 1 Januari dan pada waktu yang sama seperti tidak mempedulikan 1 Muharam?
Sepatutnya konsep hijrah yang dibawa oleh perayaan Maal Hijrah perlu dihayati oleh setiap umat Islam. Adakah Maal Hijrah setiap tahun hanyalah satu cuti umum dalam kalendar tahunan kita semata-mata? Apatah lagi ketika menyambut sambutan awal Muharam, pengajaran dan peringatan tentang Pengorbanan Rasulullah s.a.w dan para sahabat dalam menegak syiar Islam perlu dihayati.

Ketulenan para sahabat itulah perlu dipelajari serta dijadikan penghayatan untuk memastikan kesuburan iman. Yang pasti, pengajaran yang paling besar dari peristiwa hijrah ini ialah kekuatan iman yang perlu dijadikan benteng dalam kehidupan seorang Muslim.
Kesimpulannya, seharusnya kita sebagai umat Islam seeloknya menyambut tahun baru dengan cara yang betul dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam beserta dengan azam baru untuk menuju kearah satu cara hidup yang lebih dinamik.

Mutiara Kata:

Ilmu adalah segalanya, tanpa ilmu pincanglah kehidupan.......

0 comments:

Blogger template 'CoolingFall' by Ourblogtemplates.com 2008