MENJAGA AKIDAH, MEMELIHARA AKHLAK (siri 2/2011)
Akidah dikira sebagai asas dalam Islam. Tanpanya tidak tertegak Islam dalam kehidupan individu. Akidah yang rosak mengakibatkan runtuhnya pegangan Islam seseorang.
Rosaknya akidah dinamakan riddah. Riddah ertinya berbalik menjadi kafir setelah beragama Islam dan orang yang melakukan yang demikian dinamakan murtad. Riddah ialah seburuk-buruk dan sekeji-keji kufur.
Akidah sangat penting dalam kehidupan manusia apatah lagi sebagai seorang muslim, kerana akidah dikira sebagai penentu atau pendorong seseorang muslim untuk mencapai nilai ketaqwaan yang jitu kepada Allah rabbul jalil.
Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepadaNya dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam beragama Islam”.
(Ali Imran :102)
Maksud ayat tersebut ialah kewajipan seorang muslim untuk menerima dan menghormati Islam (Hukum-hukam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w) pada iktikad, segala tutur kata dan perbuatannya supaya apabila datang matinya pada bila-bila masa pun, ia berada dalam keadaan beragama Islam.
Akidah memainkan peranan penting dalam menentukan perjalanan hidup seseorang. Akidah adalah penggerak dan pencorak kehidupan seseorang. Akidah yang lemah mempengaruhi gaya hidup negatif seseorang. Biasanya mereka yang tidak memiliki akidah yang jelas dan betul akan menghadapi berbagai masalah dalam kehidupan.
FUNGSI AKIDAH
Fungsi akidah dalam pembentukan peribadi adalah seperti berikut:-
1. Menambahkan kepercayaan terhadap diri sendiri dan tahu harga diri.
2. Membina sifat rendah hati dan sedia berkhidmat.
3. Membentuk manusia menjadi berbudi dan adil
4. Menghilangkan sifat duka nestapa dan putus asa dalam menghadapi masalah
5. Membentuk keperibadian yang teguh dan optimis.
6. Menanam sifat berani
7. Memupuk sikap hidup berdamai dan sentiasa redha.
8. Membentuk keperibadian yang sentiasa patuh kepada peraturan-peraturan Ilahi
Umat Islam pada hari ini sangat memerlukan kepada pembinaan akidah. Pembangunana lahiriah yang tidak seimbang dengan pembangunan akidah akan mengakibatkan pembangunan lahiriah itu akan hancur dan runtuh.
Faktor-faktor penyumbang kepada keruntuhan akidah iaitu:-
1. Pengaruh barat yang berteraskan kebendaan untuk menguasai masyarakat islam yang boleh menyumbang kepada kerosakan akhlak.
2. Alat sebaran am, media cetak dan elektronik yang seluasnya kepada peminat hiburan.
3. Penyelewengan di dalam perniagaan , pembangunan dan memperniagakan hak rakyat.
4. Tidak amanah dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.
5. Penumpuan manusia kepada pencapaian akademik yang tinggi serta lupa tanggungjawab terhadap Allah.
6. Pengaruh politik wang yang mempengaruhi sebahagian ahli politik.
7. Pengaruh arak, judi, dadah dan sebagainya.
Gejala-gejala seperti ini tidak dapat Di benteras dengan hanya bergantung kepada ketegasan undang-undang semata-mata tetapi perlu juga kesedaran agama dan akidah yang mendalam. Akidah islam adalah berasaskan kepada ajaran tauhid. Setiap mukmin wajib menjaga akidahnya. Ia merupa kan sumber kekuatan kepada pemiliknya. Dan harus disedari bahawa apa bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh mausia hari ini adalah berpunca daripada kerosakan akidah.
Mutiara Kata:
Ilmu adalah segalanya, tanpa ilmu pincanglah kehidupan.....
0 comments:
Post a Comment