Wednesday, November 2, 2011

CERITA DI SEBALIK AIDILADHA .....(siri 16/2011)

Tanggal 10 Zulhijjah, kita umat Islam di seluruh dunia akan menyambut kedatangan Aidil Adha yang disebut juga sebagai hari Raya Haji atau hari Raya Korban.
Aidil Adha merupakan antara hari kebesaran Islam. Pada hari itu, umat Islam akan mengagungkan Allah s. w. t. dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih serta menegakkan syiar Islam dengan melakukan ibadah korban untuk mendekatkan diri kepada Allah.

AidilAdha juga, mengingatkan kita tentang konsep pengorbanan seorang ayah bersama anaknya dalam melaksanakan perintah Allah s. w. t. Peristiwa Nabi Ibrahim a. s. diuji dengan perintah menyembelih anaknya Nabi Ismail a. s. Peristiwa pengorbanan ini dirakamkan oleh Allah s. w. t. di dalam surah As-Saffat, ayat 102 hingga 109. Antaranya Allah menyatakan:
Maksudnya: Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi ibrahim berkata: "wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapat mu. Anaknya Ismail menjawab, wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".
Dari ayat-ayat tersebut Allah menceritakan, bagaimana keimanan yang tinggi yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim a.s. dapat melaksanakan perintah Allah, sekalipun terpaksa mengorbankan jiwa anak kesayangannya Ismail a.s.

PENGERTIAN QURBAN

Qurban atau Ud-hiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

HUKUM MELAKUKAN IBADAH QURBAN
Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah sunat Muakkadah iaitu sunah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Makruh meninggalkan ibadah ini bagi orang yang mampu melakukannya.
Hukum qurban ini menjadikan wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Jika tidak dilakukan dalam keadaan ini maka hukumnya adalah haram.

Daging qurban wajib tidak dibenarkan untuk dimakan oleh yang empunya qurban dan tanggungannya.

KEPADA SIAPA IBADAH QURBAN DISUNATKAN
Menurut Mazhab Syafie, ibadah disunatkan kepada mereka yang mempunyai harta yang melebihi keperluan darinya dan tanggungannya pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari Tasriq (11,12 dan 13 Zulhijjah) termasuklah orang yang sedang mengerjakan haji.
Manakala kanak-kanak tidak disunatkan melakukan ibadah qurban.

PENGAGIHAN DAGING KORBAN
Daging korban wajib : Bagi korban wajib, (korban nazar) maka demikian itu wajib disedekahkan semua daging sembelihan itu termasuk kulit dan dagingnya.

Daging korban sunat : para ulama berpendapat bahawa selain daripada sunat dimakan, wajib pula
Jika orang yang berkorban itu melambat-lambatkan pembahagian daging korban wajib tersebut sehingga rosak, maka wajib ke atas orang yang berkorban itu bersedekah dengan harga daging itu dan tidaklah wajib dia membeli yang baharu sebagai gantinya kerana telah dikira memadai dengan sembelihan tersebut.
disedekahkan sebahagian daripada daging korban sunat itu dalam keadaan mentah kepada orang-orang fakir atau miskin yang Islam.

Harus bagi orang yang berkorban itu membahagikan daging korbannya kepada tiga bahagian; satu pertiga (1/3) untuk dimakan, satu pertiga (1/3) untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin dan satu pertiga (1/3) lagi untuk dihadiahkan kepada orang kaya.

SYARAT-SYARAT SAH IBADAT KORBAN
1) Berniat Qurban ketika menyembelih
Sembelihan dilakukan dalam waktunya iaitu matahari naik kadar sepegalah pada 10 zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.
2) Penyembelihannya ialah orang Islam
Tidak terdapat kecacatan pada binatang qurban tersebut yang boleh mengurangkan dagingnya.
3) Binatang ternakan yang halal dimakan
Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur. Binatang tersebut adalah seperti berikut:-
Unta atau yang sejenisnya
Lembu atau yang sejenisnya
Kerbau atau yang sejenisnya
Kambing atau yang sejenisnya seperti biri-biri atau kibasy.

Hendaklah dipastikan bahawa haiwan yang hendak dikorbankan itu adalah jenis baka yang baik serta tidak memiliki kecacatan seperti tempang, buta, kurus, tanduk patah, telinga , lemah dan penyakit lain.

Sabda Rasulullah s.a.w : empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban : Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak ( kurus ) ( Hadis riwayat Abu Daud )

MESEJ AIDILADHA .......
Aidiladha adalah satu hari perayaan yang agung. Perayaan yang membawa bersama mesej dan pengajaran. Antara pengajaran penting Aidil Adha ini adalah kesatuan umat. Walaupun umat Islam terdiri dari berbagai bangsa dan bahasa, warna kulit, budaya dan negara, ia adalah umat yang satu dan yang menyembah Tuhan yang satu.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran, ayat 103:
Yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu berpegang-teguh dengan tali Allah (ugama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai".

Jelasnya pengajaran yang dapat kita jadikan iktibar di sebalik Aidiladha ialah peri pentingnya menjaga kesatuan, perpaduan ummah dalam masyarakat di samping kita memahami bahawa manusia itu adalah sama disisi Allah, yang membezakan mereka adalah sifat taqwa yang dimilikinya. Untuk mencapai perpaduan ini perlu ada pengorbanan yang amat besar dari semua pihak serta kerjasama yang berterusan. Ini tidak akan tercapai melainkan dengan ilmu pengetahun yang mendalam dalam semua bidang kehidupan.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillahil Hamd.

Kata seorang ulama, Fudhail r.a, "Fikir itu cermin hati, dan dengannya kita melihat segala kebaikan, kesilapan, manfaat dan mudarat dalam perihal kehidupan kita." Mudah-mudahan dengan fikrah pemikiran yang dikongsi kali ini menjadi satu inspirasi hebat buat pembaca untuk memulakan hari-hari mendatang dengan penuh pengharapan kepada reda Allah.


Pesanan Untuk Suami Isteri - Usahlah Bergaduh!! (siri 15/2011)

Kali ini kami ingin kongsikan sedikit pesanan buat pasangan suami isteri, terutamanya yang baru berumahtangga. Tentunya, tazkirah ini juga buat kami yang tidak terlepas dari ujian. Perbezaan pendapat, juga kelainan sikap boleh membawa perselisihan dan kadang-kadang melarat menjadi satu pergaduhan berpanjangan, dalam rumah tangga. Ini tentunya tidak sesuai dalam rangka kita untuk membina suasana yang damai buat anak-anak.

Persekitaran yang damai, harmoni dan bahagia memberikan pengaruh besar kepada pendidikan anak-anak. Jika ibu bapa hidup dengan limpah kasih sayang, dan dihiasi kuntuman senyum mesra dan gelak ketawa, nescaya si anak akan terbiasa dengan bayu keharmonian dan kedamaian. Kasih bapa pada ibu dan kasih ibu pada bapa menjadi model penting kepada anak untuk menjadikan nilai kasih sayang sebagai pendorong dalam pembinaan jati diri positif.

Sebaliknya jika suami isteri bercakaran dan rumah tangga berantakan, si anak akan termanggu-manggu kebingunan, sedih, kecewa, bosan dan memberontak. Rasa sayang pada ibu akan menjadi semakin luntur dan layu. Rasa hormat pada ayah pula menjadi hilang. Rumah bagaikan medan perang yang bukannya mencederakan fizikal tetapi melukakan hati dan perasaan. Akhirnya pendidikan anak ini makin terabai dan terganggu.

Konflik Rumah Tangga
Kata pepatah: sedangkan lidah lagi tergigit, ini kan pula suami isteri. Memang benar bahawa perbezaan pendapat dan kadang-kadang pergaduhan boleh berlaku dalam sesebuah rumah tangga. Allah jadikan setiap manusia berbeza dari sudut kecenderungan, minat, perwatakan, kemampuan, perangai, cara berfikir dan fizikal. Selain faktor-faktor seperti genetik, perbezaan ini banyak dipengaruhi oleh pendedahan kepada persekitaran yang berbeza berdasarkan latar belakang keluarga, sub-budaya dan budaya. Jadi, tidak hairan lah jika suami isteri akan mengalami beberapa cabaran dalam proses penyesuaian.

Pergaduhan suami isteri bukan sahaja kerana perbezaan latar belakang. Bahkan dalam kes suami dan isteri yang datang dari latar belakang yang sama pun kadang-kadang berlaku juga perselisihan. Seribu satu kelemahan dan kekurangan yang ada pada manusia menyebabkan berlakunya perbezaan dalam keluarga. Kadang-kadang ia berpunca dari suami, dan kadang-kadang ia berpunca dari isteri. Namun dalam banyak keadaan ia adalah akibat kelemahan dan kesilapan kedua-dua suami dan isteri.

Namun, mencari siapa yang bersalah bukan soal yang pokok. Apa yang penting ialah bagaimana kita berdepan dan mengurus 'lidah yang tergigit' ini. Jika lidah yang digigit, penyelesaiannya bukan dengan mencabut gigi, atau memotong lidah. Demikian juga dalam situasi hubungan suami isteri. Kedua-dua pihak perlu berlapang dada, bertimbang rasa, sabar, dan tenang dalam menghadapi konflik rumah tangga.

Tambahkan ilmu, dapatkan bimbingan, dan rujuk lah masalah yang timbul kepada mereka yang berpengalaman dan punya hikmah. Munajatlah kepada Allah agar, Dia membuka jalan ketenangan dan keharmonian dalam berumah tangga. Fikirkan soal jangka panjang sebelum sesuatu keputusan drastik di ambil, agar anak-anak tidak menjadi mangsa pertembungan suami isteri.

Anak Menjadi Mangsa
Anak ibarat seekor pelanduk yang terhimpit akibat dua ekor gajah bertempur. Yang 'berperang' ialah ibu dan bapa, namun korban perang adalah anak-anak. Kerap kali kita dengar kisah anak-anak yang dahagakan ketenangan dan kasih sayang akibat konflik rumah tangga.
Tidak sedikit anak-anak hari ini yang kantung jiwanya kosong, terbiar dan tanpa kasih akibat ibu dan bapa kerap berselisih faham. Mereka bukannya tidak berayah, atau beribu. Kedua-duanya masih ada. Namun kewujudan mereka tidak membawa sinar kebahagiaan, bahkan menawarkan dunia huru hara dan pertengkaran.

Watak-watak garang, marah, bengis, dan degil yang ditonjolkan oleh ibu dan bapa akan tercetak pada kotak fikiran anak-anak. Adegan-adegan pertengkaran, merajuk, tengking-menengking, pukul-memukul, marah-marah, serta berleter-leter yang dipaparkan oleh ibu dan bapa akan menjadi ikutan tanpa sedar oleh anak-anak.

Bahkan elemen-elemnen negatif seperti mengumpat, memburuk-burukkan, menipu dan sebagainya akan terus mewarnai segenap penjuru rumah yang punya krisis rumah tangga. Anak-anak pula, bukan sekadar menjadi penonton setia, bahkan apa yang dilihat, didengar dan didedahkan itu akan menyelinap dalam akal serta sanubari mereka.

Maka, usahlah bergaduh. Utamakan penyelesaian bukan kemenangan. Jika kemenangan yang dicari, hanya kehancuran yang diperolehi.

Lelaki dan Wanita perlu saling memahami
Memang kadang-kadang perselisihan faham antara suami isteri berlaku, walau pun dengan alasan yeng remeh. Masalah-masalah seperti tidak sangkut kain pelekat, kopi kurang gula, lupa tutup suis lampu pun boleh jadi punca 'perang' suami isteri. Selain faktor gagal mengawal kemarahan, tidak ada kesabaran, mulut laser, dan lain-lain.

Ini anugerah Allah. Sengaja Allah jadikan kita berbeza, agar kita mencedok manfaatnya. Dan, Allah minta pula agar kita saling kenal-mengenali. Dalam al-Quran Allah sebutkan bahawa manusia dijadikan dengan lelaki dan wanita ini adalah 'li ta arafu' untuk kenal-mengenal.
Lelaki perlu memahami bahawa wanita amat perlukan komunikasi untuk meluahkan emosinya. Wanita akan lega jika emosinya dibelai dan disokong. Wanita perlu pula memahami lelaki. Biasanya orang lelaki akan bercakap untuk sesuatu tujuan tertentu. Fikiran lelaki akan ligat memikirkan penyelesaian apabila diceritakan sesuatu masalah. Kelemahan lelaki ialah mereka kadang-kadang cepat diceritakan sesuatu masalah. Kelemahan lelaki ialah mereka kadang-kadang cepat terbeban dengan luahan emosi yang berlebihan. Ini kerana lelaki biasanya lebih lambat untuk memproses maklumat dan meluahkan sesuatu yang berunsur emosi.

Mutiara kata keluarga bahagia
Bahagiakanlah keluarga kita sebelum membahagia kan orang lain.
Kesolehan keluarga menjadi penentu bagi tegaknya sesuatu bangsa yang aman, makmur dan sejahtera.

Sebahagian dari kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah memiliki keluarga yang bahagia.
Ciri orangyangmencintai keluarganya adalah dia selalu bersabar dalam mendidik akhlak dan keimanan keluarganya.

Seorang yang bekerja keras untuk menunaikan tanggung jawab kepada keluarganya adalah bukti kasihnya kepada keluarganya.


Masjid Untuk Orang Tua 'Senja'? (siri 14/2011)

Di simpang masuk ke Jalan Masjid, berkumpul sekumpulan pemuda. Tiba-tiba datang seorang pakcik.

"Mari anak-anak, jom kita ke masjid solat berjemaah," seru pakcik tersebut.
"Alamak Pakcik ni, kami ni muda lagilah, dah tua nanti kami tahulah pergi masjid sendiri!" jawab seorang pemuda daripada kumpulan tersebut.

Wajah pakcik itu nampak berdukacita. Apa yang mampu dilakukannya, masalah Iman ummat akhir zaman akan bertindak sebegitu.

Masjid Untuk Orang Tua 'Senja'?
Alasan seorang ayah untuk anaknya yang masih kecil, "Budak-budak tak payah pergi masjidlah, lari-lari buat bising je. Buat orang tua sembahyang tak khusyuk! Dahlah, pergi tengok TV lagi bagus."

Alasan seorang ayah untuk anaknya yang meningkat dewasa, "Emm.. Budak ni dah besar dah. Pandailah dia fikir sendiri, kubur masing-masing. Bila hidayah dah sampai nanti, datanglah dia ke masjid tu!".

Waktu kanak-kanak dikatakan membuat bising di dalam masjid, bila dah besar pandai-pandai fikir sendiri pula alasannya. Segelintir ibu bapa seolah-olah lepas tangan tentang soal ibadat anak mereka terutamanya solat berjemaah.
Maka tidak hairanlah masjid lengang dengan golongan muda dan yang ada kebanyakannya adalah dari golongan berumur.

Salah siapa?

Adat Atau Ibadat?
Kebiasaannya, masjid akan diisi oleh golongan tua yang kebanyakan adalah dari 'Kelab Orang-Orang Pencen'. Kebanyakkan mereka menghabiskan masa pencen mereka dengan beribadat kepada Allah dengan solat berjemaah di masjid.
Alhamdulillah, mereka sekurang-kurangnya mempunyai fikiran tentang ibadat mereka berbanding mereka yang masih belum sedar.
Tetapi, adakah ia sebagai satu ibadat atau satu adat? Apakah apabila tiba usia emas, semua orang Islam baru kena banyakkan ibadat? Adakah waktu muda adalah waktu untuk bersuka ria dan mencari harta?
Terpulanglah apa pun jawapannya, Allah sahaja yang membalasnya.

Kalau Tak Sempat Tua Bagaimana?
Berbalik pada kisah yang awal tadi (kisah seorang pakcik dengan sekumpulan pemuda), terfikirkah anda tentang kenyataan balas pemuda tadi?
"Alamak Pakcik ni, kami ni muda lagilah, dah tua nanti kami tahulah pergi masjid sendiri!"
Kami muda lagi? Adakah sunnah berjemaah di masjid hanya untuk orang tua sahaja? Bagaimana pula jika seseorang itu tak sempat tua?
Jangan fikir kita di usia muda mustahil terlepas dari kematian! Tidakkah kita melihat rakan-rakan kita yang meninggal dunia dalam usia muda?
Mati kemalangan, mati mengejut (selalunya sakit jantung), dan pembunuhan. Adakah itu bukan satu kematian?

Mati tidak kira tua atau muda, jika sudah sampai ajalnya.. semua orang akan merasai kematian.
Firman allah yang bermaksud “Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.”-Surah Ali Imran: Ayat 185. Segelintir insan yang bila ditegur suka menjawab “Kau peduli apa. Kubur masing-masinglah”. Juru dakwah yang mendengar pasti akan terkedu dan kecewa.
Hakikatnya, orang yang berkata begitu sebenarnya amat cintakan dunia dan takut mati. Kita patut rasa kasihan dengan mereka, dan teruskan dakwah dengan penuh keyakinan pada Allah kerana setiap yang hidup itu pasti merasai mati.Apabila mati, hanya amalan sahaja yang kita bawa menghadap Allah. Bagaimana jika amalan kita tidak banyak? Adakah kita akan menjawab di hadapan Allah, "Aku mati muda Ya Allah. Tak sempat buat amal Kau dah matikan aku".

Adakah begitu?
Bangkitlah Wahai Orang Muda !
Di antara golongan yang mendapat perlindungan di padang mahsyar ialah pemuda yang hatinya terikat dengan masjid.
Sewaktu rakan-rakan sebaya kita memenuhkan ruang disko di masa azan Maghrib berkumandang, marilah kita memenuhkan rumah-rumah Allah.
Sesungguhnya Allah menyayangi orang yang beribadat, tetapi Allah LEBIH menyayangi orang MUDA yang beribadat.

Golongan muda adalah tiang kepada masyarakat, jika roboh tiang itu maka akan rosaklah masyarakat. Cuba kita bayangkan jika semua orang-orang berumur di masjid itu telah tiada, siapakah yang akan mengimarahkan rumah Allah?
Jangan sampai cicak yang ada di siling masjid itu yang bertasbih kepada Allah bersendiri tanpa kehadiran makhluk Allah yang istimewa bernama manusia!
Koreksi diri di usia muda, mudah-mudahan mendapat bahagia.

Mustahilkah untuk melakukan perubahan?
Mustahilkah? Susahkah? Pasti jawapannya tidak mustahil.

Tetapi bukankah perubahan itu ada dua jenis iaitu perubahan positif atau perubahan negatif (nauzubillah).

Tiba-tiba terfikir satu persoalan,
Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?

Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan godaan syaitan?
"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk" - Surah Az-Zukhruf 43 : 37
"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah Az-Zukhruf 43 : 62

Tarik nafas dalam-dalam. Ambil masa, fikir sejenak.
Yang mana lebih kita kejarkan? Perubahan yang lebih baik atau yang sebaliknya?
Pastinya yang lebih baik.

Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya dihiasi dengan ranjau yang penuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.
Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus manusia:
"Eh, kenapa A pakai tudung sekarang ini, bukankah dahulu dia seorang minah rempit, ini mesti tak lama nie!"

"Alhamdulillah, A dah mula berubah insya Allah sentiasa dirahmatinya"
Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.
Percayalah, kita lebih mengenali diri kita dari orang-orang lain, dan Allah lebih mengenali kita dari diri sendiri.

Tidaklah semua perkara itu manis untuk menuju ke syurga, kerana pasti Allah selitkan sedikit ujian untuk kita, bagi menguji diri ini.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?" - Surah Al-Ankabut 29:2
Apakah definisi perubahan sebenar dalam diri kita? Adakah hanya dari segi fizikal atau hati nurani? Yang mana akan datang dulu?

Sebenarnya, yang mana datang dahulu itu tidak penting, kerana yang lagi penting adalah hasilnya.

Andai kita rasa, perubahan fizikal seperti melabuhkan tudung dan pakaian itu lebih mudah, maka lakukan itu dahulu, kemudian kita melatih hati ini satu persatu, andai kita merasakan hati ini lagi senang untuk dilatih, maka latihlah ia dahulu.
Kerana perubahan itu datangnya dari hati yang ikhlas, yang tulus. Insya Allah.
Mari mulakan langkah kita bersama, kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.
Manusia sentiasa perlukan perubahan kerana iman kita naik dan turun. Jangan biar jalan kita dihiasi dengan futur.

Sudahkah kita berfikir? (siri 13/2011)

TIDAK pernah dalam sejarah, sesebuah masyarakat atau kaum itu mencapai ketinggian tamadun melainkan dengan pemikiran yang tinggi.

Sejarah umat Islam menunjukkan betapa ramai lahirnya tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang hebat seperti Imam Asy-Syafie, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun dan ramai lagi yang mana mereka ini merupakan tokoh pemikir ulung Islam.

Kewujudan ini kesan daripada kesedaran yang mendalam tentang betapa pentingnya falsafah atau pemikiran sesebuah umat itu dibentuk. Rasulullah SAW, seorang insan pilihan yang sangat menitikberatkan soal pemikiran pernah bersabda: "Yang terlebih hampir dengan aku pada hari kiamat, adalah orang yang terlebih lapar dan berfikir".
Ini jelas betapa penting dan mulianya seseorang yang menggunakan sepenuhnya nikmat fikiran yang hanya Allah anugerahkan kepada kita. Sering kita mendengar pesanan-pesanan daripada ilmuwan Islam yang menyuruh kita memikirkan tentang apa yang diciptakan oleh Allah, kerana itu akan mendatangkan manfaat buat diri.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 190 bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan hemah Allah bagi orang-orang yang berakal (berfikir).



Bagaimana dan apa yang perlu difikirkan ?

Kita tertanya-tanya, berfikir bagaimana yang akan membuatkan kita beruntung di sisi Allah.

Adakah memikir tentang bagaimana mengejar kekayaan seperti seorang ahli perniagaan memikir cara mengembangkan perniagaannya?

Memikir bagaimana mengurus kehidupan harian seperti si ayah memikir apa yang terbaik perlu dilaksanakan untuk keluarganya? Banyak sekali cabang fikirnya, dan semua pemikiran yang disebut tadi ada manfaatnya untuk diri kita. Cumanya kolum kali ini kita akan mencari makna fikir yang dikehendaki oleh baginda Nabi SAW.

Ibrahim ibnu Adham, seorang ulama sufi mengenengahkan tiga bentuk pemikiran:
1.Memikirkan segala kejadian Allah dan menjadikan itu sebagai dalil kewujudan dan kekuasaan Allah, ini kelakuan golongan ulama.

2.Memikirkan setiap kejadian Allah dengan lebih mendalam dan kelebihan setiap nikmatnya, lalu timbul perasaan syukur kepada Allah.

3.Memikirkan tentang amalan hariannya (post moterm) supaya tidak tercemar dengan perasaan riak dan takbur yang membinasakan amalan dan dirinya, ini kelakuan ahli ibadah.


Sememangnya dengan berfikir akan membuatkan kita mengetahui di mana kedudukan diri kita, sama ada mengikut acuan yang dikehendaki oleh Islam atau sebaliknya.

Melihat kepada sejarah kegemilangan Islam di era pemerintahan Khulafa Ur-Rasyidin, kerajaan Islam ketika itu berjaya memerintah sebahagian besar daripada dunia, apa rahsianya? Selain dari tahap iman dan takwa yang tinggi kepada Allah, rupa-rupanya pemikiran muda-mudi ketika itu sentiasa dibendung dengan '1 fikrah', iaitu cintakan ilmu terutama ilmu yang mengukuhkan keimanan kepada Allah.

Kesan didikan Rasulullah SAW masih segar dan terpahat dalam hati mereka, Rasulullah mendidik supaya memerangi penyakit wahan dalam hati dan fikiran, sahabat bertanya: "Apakah itu penyakit wahan?" Maka jawab baginda, "Cintakan dunia, takutkan mati".

Sesebuah masyarakat yang terlalu mencintai kehidupan dunia akan membuatkan mereka alpa dan berpaling daripada perintah Allah, ini pernah berlaku kepada kaum Tsamud yang mana mereka akhirnya dihancurkan oleh Allah. Begitu juga dengan kaum nabi-nabi Allah yang lain.

Sememangnya kita tidak sanggup ia berlaku kepada masyarakat di negara kita. Maknanya, pemikiran seperti inilah perlu diterapkan kepada remaja kita. Ini akan membawa remaja kita kenal kepada matlamat dan peranan utama di ketika usianya.

Apa faedahnya berfikir ?

Diriwayatkan daripada Abi Sulaiman, Nabi SAW bersabda: "Berfikir tentang akhirat itu akan memperolehi hikmah dan menghidupkan hati. Dan berfikir pada (kesibukan) dunia semata-mata maka akan menjadi dinding (yang mengkaburkannya) tentang akhirat".

Diriwayatkan daripada Abi Sulaiman, Nabi SAW bersabda: "Berfikir tentang akhirat itu akan memperolehi hikmah dan menghidupkan hati. Dan berfikir pada (kesibukan) dunia semata-mata maka akan menjadi dinding (yang mengkaburkannya) tentang akhirat".

Tentu sekali orang yang berfikir perihal akhirat akan menjadikan dirinya sentiasa berhati-hati dalam setiap tingkah lakunya agar tidak mengundang kemurkaan Allah, kerana kesedaran bahawa setiap amalan yang baik dan buruk akan dihitung di hadapan Allah walaupun sebesar biji sawi sekalipun.

Alangkah beruntungnya orang yang berfikir!!
Ini pula kajian kesan daripada berfikir, orang yang jarang-jarang berfikir atau memerah otaknya untuk berfikir mempunyai paling minimum 10 bilion sel. Setiap sel berhubung antara satu sama lain. Orang yang rajin dan kuat berfikir mempunyai hingga 1 trilion sel dalam kapasiti saiz otak yang sama. Semakin kerap atau semakin kuat kita berfikir, semakin banyak sel yang terbentuk.

Jadi, inilah masanya untuk kita mengunakan sepenuhnya nikmat akal fikiran yang sangat hebat ini untuk merealisasikan impian diri dan agama. Dengan memikirkan tahap keimanan, kualiti kehidupan dan ibadah kita, serta persediaan menghadap Rabbul Jalil nanti.

Kata seorang ulama, Fudhail r.a, "Fikir itu cermin hati, dan dengannya kita melihat segala kebaikan, kesilapan, manfaat dan mudarat dalam perihal kehidupan kita." Mudah-mudahan dengan fikrah pemikiran yang dikongsi kali ini menjadi satu inspirasi hebat buat pembaca untuk memulakan hari-hari mendatang dengan penuh pengharapan kepada reda Allah.

BERFIKIRLAH SEJENAK AGAR KITA MENJADI MANUSIA YANG BERSYUKUR DAN BERJAYA DI DUNIA DAN AKHIRAT


Blogger template 'CoolingFall' by Ourblogtemplates.com 2008