Wednesday, November 2, 2011

Pesanan Untuk Suami Isteri - Usahlah Bergaduh!! (siri 15/2011)

Kali ini kami ingin kongsikan sedikit pesanan buat pasangan suami isteri, terutamanya yang baru berumahtangga. Tentunya, tazkirah ini juga buat kami yang tidak terlepas dari ujian. Perbezaan pendapat, juga kelainan sikap boleh membawa perselisihan dan kadang-kadang melarat menjadi satu pergaduhan berpanjangan, dalam rumah tangga. Ini tentunya tidak sesuai dalam rangka kita untuk membina suasana yang damai buat anak-anak.

Persekitaran yang damai, harmoni dan bahagia memberikan pengaruh besar kepada pendidikan anak-anak. Jika ibu bapa hidup dengan limpah kasih sayang, dan dihiasi kuntuman senyum mesra dan gelak ketawa, nescaya si anak akan terbiasa dengan bayu keharmonian dan kedamaian. Kasih bapa pada ibu dan kasih ibu pada bapa menjadi model penting kepada anak untuk menjadikan nilai kasih sayang sebagai pendorong dalam pembinaan jati diri positif.

Sebaliknya jika suami isteri bercakaran dan rumah tangga berantakan, si anak akan termanggu-manggu kebingunan, sedih, kecewa, bosan dan memberontak. Rasa sayang pada ibu akan menjadi semakin luntur dan layu. Rasa hormat pada ayah pula menjadi hilang. Rumah bagaikan medan perang yang bukannya mencederakan fizikal tetapi melukakan hati dan perasaan. Akhirnya pendidikan anak ini makin terabai dan terganggu.

Konflik Rumah Tangga
Kata pepatah: sedangkan lidah lagi tergigit, ini kan pula suami isteri. Memang benar bahawa perbezaan pendapat dan kadang-kadang pergaduhan boleh berlaku dalam sesebuah rumah tangga. Allah jadikan setiap manusia berbeza dari sudut kecenderungan, minat, perwatakan, kemampuan, perangai, cara berfikir dan fizikal. Selain faktor-faktor seperti genetik, perbezaan ini banyak dipengaruhi oleh pendedahan kepada persekitaran yang berbeza berdasarkan latar belakang keluarga, sub-budaya dan budaya. Jadi, tidak hairan lah jika suami isteri akan mengalami beberapa cabaran dalam proses penyesuaian.

Pergaduhan suami isteri bukan sahaja kerana perbezaan latar belakang. Bahkan dalam kes suami dan isteri yang datang dari latar belakang yang sama pun kadang-kadang berlaku juga perselisihan. Seribu satu kelemahan dan kekurangan yang ada pada manusia menyebabkan berlakunya perbezaan dalam keluarga. Kadang-kadang ia berpunca dari suami, dan kadang-kadang ia berpunca dari isteri. Namun dalam banyak keadaan ia adalah akibat kelemahan dan kesilapan kedua-dua suami dan isteri.

Namun, mencari siapa yang bersalah bukan soal yang pokok. Apa yang penting ialah bagaimana kita berdepan dan mengurus 'lidah yang tergigit' ini. Jika lidah yang digigit, penyelesaiannya bukan dengan mencabut gigi, atau memotong lidah. Demikian juga dalam situasi hubungan suami isteri. Kedua-dua pihak perlu berlapang dada, bertimbang rasa, sabar, dan tenang dalam menghadapi konflik rumah tangga.

Tambahkan ilmu, dapatkan bimbingan, dan rujuk lah masalah yang timbul kepada mereka yang berpengalaman dan punya hikmah. Munajatlah kepada Allah agar, Dia membuka jalan ketenangan dan keharmonian dalam berumah tangga. Fikirkan soal jangka panjang sebelum sesuatu keputusan drastik di ambil, agar anak-anak tidak menjadi mangsa pertembungan suami isteri.

Anak Menjadi Mangsa
Anak ibarat seekor pelanduk yang terhimpit akibat dua ekor gajah bertempur. Yang 'berperang' ialah ibu dan bapa, namun korban perang adalah anak-anak. Kerap kali kita dengar kisah anak-anak yang dahagakan ketenangan dan kasih sayang akibat konflik rumah tangga.
Tidak sedikit anak-anak hari ini yang kantung jiwanya kosong, terbiar dan tanpa kasih akibat ibu dan bapa kerap berselisih faham. Mereka bukannya tidak berayah, atau beribu. Kedua-duanya masih ada. Namun kewujudan mereka tidak membawa sinar kebahagiaan, bahkan menawarkan dunia huru hara dan pertengkaran.

Watak-watak garang, marah, bengis, dan degil yang ditonjolkan oleh ibu dan bapa akan tercetak pada kotak fikiran anak-anak. Adegan-adegan pertengkaran, merajuk, tengking-menengking, pukul-memukul, marah-marah, serta berleter-leter yang dipaparkan oleh ibu dan bapa akan menjadi ikutan tanpa sedar oleh anak-anak.

Bahkan elemen-elemnen negatif seperti mengumpat, memburuk-burukkan, menipu dan sebagainya akan terus mewarnai segenap penjuru rumah yang punya krisis rumah tangga. Anak-anak pula, bukan sekadar menjadi penonton setia, bahkan apa yang dilihat, didengar dan didedahkan itu akan menyelinap dalam akal serta sanubari mereka.

Maka, usahlah bergaduh. Utamakan penyelesaian bukan kemenangan. Jika kemenangan yang dicari, hanya kehancuran yang diperolehi.

Lelaki dan Wanita perlu saling memahami
Memang kadang-kadang perselisihan faham antara suami isteri berlaku, walau pun dengan alasan yeng remeh. Masalah-masalah seperti tidak sangkut kain pelekat, kopi kurang gula, lupa tutup suis lampu pun boleh jadi punca 'perang' suami isteri. Selain faktor gagal mengawal kemarahan, tidak ada kesabaran, mulut laser, dan lain-lain.

Ini anugerah Allah. Sengaja Allah jadikan kita berbeza, agar kita mencedok manfaatnya. Dan, Allah minta pula agar kita saling kenal-mengenali. Dalam al-Quran Allah sebutkan bahawa manusia dijadikan dengan lelaki dan wanita ini adalah 'li ta arafu' untuk kenal-mengenal.
Lelaki perlu memahami bahawa wanita amat perlukan komunikasi untuk meluahkan emosinya. Wanita akan lega jika emosinya dibelai dan disokong. Wanita perlu pula memahami lelaki. Biasanya orang lelaki akan bercakap untuk sesuatu tujuan tertentu. Fikiran lelaki akan ligat memikirkan penyelesaian apabila diceritakan sesuatu masalah. Kelemahan lelaki ialah mereka kadang-kadang cepat diceritakan sesuatu masalah. Kelemahan lelaki ialah mereka kadang-kadang cepat terbeban dengan luahan emosi yang berlebihan. Ini kerana lelaki biasanya lebih lambat untuk memproses maklumat dan meluahkan sesuatu yang berunsur emosi.

Mutiara kata keluarga bahagia
Bahagiakanlah keluarga kita sebelum membahagia kan orang lain.
Kesolehan keluarga menjadi penentu bagi tegaknya sesuatu bangsa yang aman, makmur dan sejahtera.

Sebahagian dari kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah memiliki keluarga yang bahagia.
Ciri orangyangmencintai keluarganya adalah dia selalu bersabar dalam mendidik akhlak dan keimanan keluarganya.

Seorang yang bekerja keras untuk menunaikan tanggung jawab kepada keluarganya adalah bukti kasihnya kepada keluarganya.


0 comments:

Blogger template 'CoolingFall' by Ourblogtemplates.com 2008