Wednesday, November 2, 2011

Masjid Untuk Orang Tua 'Senja'? (siri 14/2011)

Di simpang masuk ke Jalan Masjid, berkumpul sekumpulan pemuda. Tiba-tiba datang seorang pakcik.

"Mari anak-anak, jom kita ke masjid solat berjemaah," seru pakcik tersebut.
"Alamak Pakcik ni, kami ni muda lagilah, dah tua nanti kami tahulah pergi masjid sendiri!" jawab seorang pemuda daripada kumpulan tersebut.

Wajah pakcik itu nampak berdukacita. Apa yang mampu dilakukannya, masalah Iman ummat akhir zaman akan bertindak sebegitu.

Masjid Untuk Orang Tua 'Senja'?
Alasan seorang ayah untuk anaknya yang masih kecil, "Budak-budak tak payah pergi masjidlah, lari-lari buat bising je. Buat orang tua sembahyang tak khusyuk! Dahlah, pergi tengok TV lagi bagus."

Alasan seorang ayah untuk anaknya yang meningkat dewasa, "Emm.. Budak ni dah besar dah. Pandailah dia fikir sendiri, kubur masing-masing. Bila hidayah dah sampai nanti, datanglah dia ke masjid tu!".

Waktu kanak-kanak dikatakan membuat bising di dalam masjid, bila dah besar pandai-pandai fikir sendiri pula alasannya. Segelintir ibu bapa seolah-olah lepas tangan tentang soal ibadat anak mereka terutamanya solat berjemaah.
Maka tidak hairanlah masjid lengang dengan golongan muda dan yang ada kebanyakannya adalah dari golongan berumur.

Salah siapa?

Adat Atau Ibadat?
Kebiasaannya, masjid akan diisi oleh golongan tua yang kebanyakan adalah dari 'Kelab Orang-Orang Pencen'. Kebanyakkan mereka menghabiskan masa pencen mereka dengan beribadat kepada Allah dengan solat berjemaah di masjid.
Alhamdulillah, mereka sekurang-kurangnya mempunyai fikiran tentang ibadat mereka berbanding mereka yang masih belum sedar.
Tetapi, adakah ia sebagai satu ibadat atau satu adat? Apakah apabila tiba usia emas, semua orang Islam baru kena banyakkan ibadat? Adakah waktu muda adalah waktu untuk bersuka ria dan mencari harta?
Terpulanglah apa pun jawapannya, Allah sahaja yang membalasnya.

Kalau Tak Sempat Tua Bagaimana?
Berbalik pada kisah yang awal tadi (kisah seorang pakcik dengan sekumpulan pemuda), terfikirkah anda tentang kenyataan balas pemuda tadi?
"Alamak Pakcik ni, kami ni muda lagilah, dah tua nanti kami tahulah pergi masjid sendiri!"
Kami muda lagi? Adakah sunnah berjemaah di masjid hanya untuk orang tua sahaja? Bagaimana pula jika seseorang itu tak sempat tua?
Jangan fikir kita di usia muda mustahil terlepas dari kematian! Tidakkah kita melihat rakan-rakan kita yang meninggal dunia dalam usia muda?
Mati kemalangan, mati mengejut (selalunya sakit jantung), dan pembunuhan. Adakah itu bukan satu kematian?

Mati tidak kira tua atau muda, jika sudah sampai ajalnya.. semua orang akan merasai kematian.
Firman allah yang bermaksud “Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.”-Surah Ali Imran: Ayat 185. Segelintir insan yang bila ditegur suka menjawab “Kau peduli apa. Kubur masing-masinglah”. Juru dakwah yang mendengar pasti akan terkedu dan kecewa.
Hakikatnya, orang yang berkata begitu sebenarnya amat cintakan dunia dan takut mati. Kita patut rasa kasihan dengan mereka, dan teruskan dakwah dengan penuh keyakinan pada Allah kerana setiap yang hidup itu pasti merasai mati.Apabila mati, hanya amalan sahaja yang kita bawa menghadap Allah. Bagaimana jika amalan kita tidak banyak? Adakah kita akan menjawab di hadapan Allah, "Aku mati muda Ya Allah. Tak sempat buat amal Kau dah matikan aku".

Adakah begitu?
Bangkitlah Wahai Orang Muda !
Di antara golongan yang mendapat perlindungan di padang mahsyar ialah pemuda yang hatinya terikat dengan masjid.
Sewaktu rakan-rakan sebaya kita memenuhkan ruang disko di masa azan Maghrib berkumandang, marilah kita memenuhkan rumah-rumah Allah.
Sesungguhnya Allah menyayangi orang yang beribadat, tetapi Allah LEBIH menyayangi orang MUDA yang beribadat.

Golongan muda adalah tiang kepada masyarakat, jika roboh tiang itu maka akan rosaklah masyarakat. Cuba kita bayangkan jika semua orang-orang berumur di masjid itu telah tiada, siapakah yang akan mengimarahkan rumah Allah?
Jangan sampai cicak yang ada di siling masjid itu yang bertasbih kepada Allah bersendiri tanpa kehadiran makhluk Allah yang istimewa bernama manusia!
Koreksi diri di usia muda, mudah-mudahan mendapat bahagia.

Mustahilkah untuk melakukan perubahan?
Mustahilkah? Susahkah? Pasti jawapannya tidak mustahil.

Tetapi bukankah perubahan itu ada dua jenis iaitu perubahan positif atau perubahan negatif (nauzubillah).

Tiba-tiba terfikir satu persoalan,
Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?

Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan godaan syaitan?
"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk" - Surah Az-Zukhruf 43 : 37
"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah Az-Zukhruf 43 : 62

Tarik nafas dalam-dalam. Ambil masa, fikir sejenak.
Yang mana lebih kita kejarkan? Perubahan yang lebih baik atau yang sebaliknya?
Pastinya yang lebih baik.

Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya dihiasi dengan ranjau yang penuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.
Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus manusia:
"Eh, kenapa A pakai tudung sekarang ini, bukankah dahulu dia seorang minah rempit, ini mesti tak lama nie!"

"Alhamdulillah, A dah mula berubah insya Allah sentiasa dirahmatinya"
Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.
Percayalah, kita lebih mengenali diri kita dari orang-orang lain, dan Allah lebih mengenali kita dari diri sendiri.

Tidaklah semua perkara itu manis untuk menuju ke syurga, kerana pasti Allah selitkan sedikit ujian untuk kita, bagi menguji diri ini.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?" - Surah Al-Ankabut 29:2
Apakah definisi perubahan sebenar dalam diri kita? Adakah hanya dari segi fizikal atau hati nurani? Yang mana akan datang dulu?

Sebenarnya, yang mana datang dahulu itu tidak penting, kerana yang lagi penting adalah hasilnya.

Andai kita rasa, perubahan fizikal seperti melabuhkan tudung dan pakaian itu lebih mudah, maka lakukan itu dahulu, kemudian kita melatih hati ini satu persatu, andai kita merasakan hati ini lagi senang untuk dilatih, maka latihlah ia dahulu.
Kerana perubahan itu datangnya dari hati yang ikhlas, yang tulus. Insya Allah.
Mari mulakan langkah kita bersama, kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.
Manusia sentiasa perlukan perubahan kerana iman kita naik dan turun. Jangan biar jalan kita dihiasi dengan futur.

1 comments:

valenziaabajian

Tipe Of Steel - The Titanium Price Per Pound
A steel camillus titanium knife car made from steel. This car titanium armor has a polished chrome finish. It comes with an titanium mens ring original finish, a stainless titanium element steel 2018 ford fusion hybrid titanium head, and a polished chrome finish.

Blogger template 'CoolingFall' by Ourblogtemplates.com 2008