Thursday, April 16, 2009

RIWAYAT HIDUP RASULULLAH S.A.W (Mac)

WADAH NUR FADZILAT BAKA IPK KEDAH
BIL 3/2009
RIWAYAT HIDUP RASULULLAH S.A.W




KELAHIRAN NABI BESAR MUHAMMAD S.A.W

Nabi Muhammad S.a.w dilahirkan di Kota Mekah pada tahun Gajah bersamaan tahun Masihi 570H. Pada tahun baginda dilahirkan itulah berlakunya pengepungan tentera bergajah ke atas Kota Mekah yang datang dari Yaman kerana mahu meruntuhkan Ka’bah, Rumah Allah yang suci.

KEAJAIBAN YANG BERLAKU PADA HARI NABI DILAHIRKAN.

Siti Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Khalid adalah bonda Nabi yang suci. Sesungguhnya beliau adalah bonda seorang Rasul Allah. Bahkan bonda kepada Rasul teragung dan terakhir, tetapi sebagai seorang insan biasa anak cucu Siti Hawa dan mengandung seperti kebanyakan ibu-ibu yang lain juga. Cuma yang bezanya ialah Siti Aminah tidak merasai penderitaan yang berat sebagaimana kebanyakan ibu-ibu biasa ketika mahu melahirkan anak.

Setelah sampai masa dan ketikanya untuk melahirkan anak, maka Siti Aminah yang sedang berbaring sambil ditemani oleh Siti Syifa’, iaitu ibu kepada sahabat Nabi Sayyidina Abdul Rahman bin Auf, tiba-tiba beliau merasa perutnya sakit kerana mahu melahirkan kandungannya.

Pada malam isnin di bulan Rabiul Awal pada 12 haribulan, 570 Masihi maka lahirlah seorang bayi lelaki yang sangat comel dan sempurna. Siti Syifa’ selaku bidan terus menyambut bayi yang comel dan sihat itu lalu dibersihkannya, kemudian dbalutnya dengan kain putih yang bersih.

Pada saat Nabi dilahirkan itu telah banyak terjadi perkara-perkara yang tidak pernah diduga oleh akal manusia. Keajaiban itu terjadi di seluruh alam. Dari depan mata Siti Syifa’ hinggalah ke tepi dunia dan juga ke lapisan langit yang ke tujuh.

Peristiwa pelik dan aneh yang dapat disaksikan oleh Siti Syifa’ iaitu Nabi tidak menangis sebaik sahaja keluar dari perut ibunya sedangkan belum pernah terjadi dalam sejarah peradaban manusia bahawa bayi yang baru keluar dari perut ibunya tidak menangis.

Nabi ketika dilahirkan tidak menangis seperti kanak-kanak biasa. Tetapi baginda bersin. Inilah yang anehnya!!

Suasana di dalam rumah Abdul Muttalib ketika Siti Aminah mahu melahirkan anak sulungnya itu hanya diterangi oleh cahaya pelita atau dammar sahaja. Sebaik sahaja Nabi dilahirkan, tiba-tiba rumah itu menjadi terang seperti disuluh oleh cahaya lampu sehingga dalam rumah Abdullah itu keadaannya menjadi seperti siang hari.

Diluar rumah Adullah itu pula, berhala-berhala yang berdiri megah di sekeliling ka’abah semua tumbang seperti ditolak oleh satu tenaga yang kuat dari arah ka’abah.

Peristiwa aneh dan luar biasa ynag berlaku di tempat yang jauh pula ialah api di Farsi yang menjadi pujaan rakyat Farsi yang beragama Majusi, yang mana tidak pernah dipadam semenjak dinyalakan, tiba-tiba terpadam setelah lahirnya Nabi Muhammad s.a.w.

Manakala diatas langit pula, para malaikat sibuk bercakap tentang kelahiran insan agung yang akan membawa obor yang terang untuk menyuluh umat yang sedang bergelumang hidup di dalam kesesatan.

SIFAT-SIFAT NABI S.A.W

Nabi adalah termasuk di dalam golongan manusia yang paling hebat wajahnya. Kehebatan wajah baginda sungguh menggetarkan sesiapa yang memandangnya. Diriwayatkan ada seorang lelaki badwi menjadi gementar badannya apabila dia terpandang wajah baginda kerana tersangat hebatnya.

Sayyidina Ali bin Ali Talib berkata, sesiapa yang baru melihat wajah Rasulullah s.a.w nescaya dia akan rasa takut kerana kehebatannya. Tetapi sesiapa yang sudah lama bergaul dengan Baginda, dia akan merasa sangat sayang kepadanya.

Selain mempunyai wajah yang sangat hebat, Rasulullah s.a.w juga adalah seorang insan yang indah wajahnya.

KELAKUAN DAN AKHLAK RASULULLAH S.A.W

1) Nabi sentiasa memelihara pakainnya agar selalu rapi dan bersih, baginda amat menyukai pakaian yang berwarna putih.

2) Nabi adalah seorang insan yang lemah lembut.

3) Apabila kanak-kanak datang mengelilingi Nabi, baginda melayan kanak-kanak dengan ramah sekali.

4) Apabila berjalan, cepat langkahnya seperti orang yang ada tujuan yang penting dihadapannya, apabila baginda bergembira, baginda hanya tersenyum ( ketawanya ialah senyum ), baginda tidak pernah ketawa secara kuat kecuali tiga kali sahaja selama hidupnya.

5) Rahsia daya penariknya ialah pada kemanisan muka dan keramahannya. Apabila berjumpa dengan seseorang, baginda akan memberi salam terlebih dahulu sebelum orang memberi salam kepada baginda dan disertakan dengan huluran tangan untuk berjabat salam. Baginda tidak akan menarik tangannya sehingga orang yang dijabat itu menarik tangannya.

6) Baginda sangat setia sekali dalam persahabatan.

7) Baginda adalah seorang insan yang penyayang, kasih sayangnya bukan sahaja terhadap manusia, tetapi juga kepada binatang. Baginda tidak pernah memukul binatang dan tidak pernah menyakiti binatang.

8) Ketika berjalan, pandangan matanya lebih banyak ke bumi daripada ke hadapan.

0 comments:

Blogger template 'CoolingFall' by Ourblogtemplates.com 2008